KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah dan Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah menggantung penerbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM5 bilion pada Mei 2009.
Sultan Mizan yang juga Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada ketika itu menitahkannya untuk menandatangani satu resolusi yang menggantung tugas dan kuasanya sebagai CEO TIA dan sesiapa sahaja yang menjalankan tugas-tugas CEO TIA untuk tidak membuat apa-apa keputusan atau urusan berkaitan dengan program IMTN.
“Pada 22 Mei 2009, saya telah menerima makluman secara mengejut daripada Istana Terengganu untuk hadir ke Istana Terengganu bersama Tan Sri Ismee Ismail (Pengarah TIA) untuk menghadap Sultan Mizan dengan kadar segera.
“Sebaik sahaja sampai ke Istana Terengganu, saya dan Tan Sri Ismee dibawa ke bilik mesyuarat, kemudian disusuli oleh Tuanku Mizan dan adindanya, Tengku Datuk Rahimah Almarhum Sultan Mahmud Al-Mukhtafi Billah Shah (Pengarah TIA). Baginda menunjukkan dokumen resolusi yang telah sedia ditandatangani oleh Tengku Rahimah dan menithkan agar saya menandatanganinya.
“Seingat saya, Baginda bertitah āPlease sign this resolution, you can read it if you wantā. Saya rasa tergagam dan dapat merasakan sesuatu yang tidak kena dengan intonasi Tuanku Mizan yang nampak murka. Saya membaca cepat-cepat resolusi itu dan saya dapati ia melibatkan isu IMTN yang diarahkan untuk digantung dan terbitan IMTN ditangguhkan sehingga syarat-syarat yang tertera dalam resolusi ini telah dipatuhi.
“Saya terkejut kerana sebelum itu Jho Low memaklumkan kepada saya bahawa Tuanku Mizan tiada halangan untuk meneruskan terbitan IMTN ini. Ini adalah kali pertama saya mendengar daripada pihak Tuanku Mizan bahawa kerajaan negeri meletakkan syarat terhadap terbitan IMTN. Jho Low sebagai penasihat dan fasilitator kepada Tuanku Mizan dan Najib tidak pernah memaklumkan syarat tersebut. Saya tidak tahu punca sebenar perbalahan antara pemegang amanah TIA pada masa itu.
“Semasa saya di Istana Terengganu pada petang 22 Mei 2009 bersama Tan Sri Ismee, Sultan Mizan dan Tengku Rahimah, Tuanku ada menggunakan frasa āunsavoury characterā (seseorang yang tidak disenangi) tetapi saya tidak pasti frasa ini merujuk kepada siapa,” katanya.
Terdahulu, saksi itu memberitahu Jho Low telah memaklumkan kepadanya bahawa Tuanku Mizan telah menitahkan agar adindanya, Tengku Rahimah dilantik menjadi salah seorang pengarah TIA bagi mewakili kepentingan Negeri Terengganu.
Tambahnya, pelantikan tersebut juga adalah bagi memastikan perjanjian IMTN tidak membelakangkan kepentingan negeri itu.
Saksi itu berkata demikian pada perbicaraan hari ke-12 kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas 25 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan membabitkan penyelewengan dana syarikat RM2.28 bilion.
Perbicaraan tersebut didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. – UTUSAN ONLINE