PETALING JAYA – Selepas empat bulan memendam perasaan akhirnya Jasmin Hamid menarik nafas lega apabila individu yang bertanggungjawab menghina anak angkatnya tampil membuat permohonan maaf hari ini.
Suri rumah, Izzatul Hairiyah Abdullah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas memalukan anak angkat pelakon itu, Rohhana Abdul Hamid, 32, dalam media sosial tujuh bulan lalu.
“Ini bukan soal meraih publisiti atau nak cari duit lebih melalui saman ganti rugi malu tapi lebih kepada mengajar warganet supaya lebih berhati-hati dalam dunia internet.
“Kita hidup dalam negara yang mengamalkan undang-undang. Bukan setakat di luar, dalam laman sosial pun terikat dengan peraturan yang sama. Jadi berhati-hatilah,” kata Jasmin dalam sidang akhbar yang berlangsung petang tadi.
Turut hadir ialah peguam daripada Tetuan Guaman The Law Chambers Of Fauzi & Nasser yang bertanggungjawab mengendali kes penyebaran fitnah pelakon drama Datin Wan Abe itu.
Menerusi tuntutan dibuat, Izzatul dikehendaki membuat permohonan maaf secara terbuka, membayar ganti rugi sejumlah wang, membuat permohohonan dalam media dan surat akuan terbuka untuk menarik balik kenyataan yang dibuat.
Sementara itu, Rohanna yang ditemui berlapang dada dengan kejadian yang memalukan terjadi kali pertama dalam hidupnya itu.
Walaupun hatinya luka dengan perlakuan Izzatul namun dia tetap menerima permohonan maaf yang dibuat wanita berkenaan.
“Saya berharap sangat dia belajar sesuatu selepas kejadian ini. Memalukan orang dengan menyamakan bentuk wajah atau tubuh badan seseorang dengan binatang adalah satu perbuatan yang salah,” ujarnya.
Sekitar Mac lalu, Jasmin membuat laporan polis apabila ada sekumpulan individu menghina wajah Rohhana sebelum memfailkan saman pada 2 Mei lalu.
Selain Izzatul, ada dua orang lagi warganet yang dikenalpasti bakal berdepan dengan tindakan undang-undang. Bagaimanapun perincian tentang individu terbabit akan dimaklumkan kemudian. – UTUSAN ONLINE