1. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyeru Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Yeo Bee Yin untuk mengambil tindakan-tindakan yang proaktif berhubung isu jerebu yang melanda negara. Sehingga hari ini, YB Menteri sekadar mengumumkan bahawa Malaysia akan menghantar Nota Diplomatik kepada Indonesia di atas kejadian jerebu merentas sempadan yang menyaksikan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara meningkat dengan mendadak, dengan Kuching, Sarawak pada tahap tidak sihat.
2. Adalah amat memalukan apabila Menteri sejawat dari Indonesia, Siti Nurbaya, Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan menemplak dan menafikan bahawa jerebu merentas sempadan adalah dari Indonesia. Persoalannya, apakah yang akan dilakukan oleh Yeo Bee Yin sekarang apabila rakan sejawat menafikan soal jerebu ini mentah-mentah. Menteri dilihat culas dalam menangani isu jerebu seolah-olah kerajaan tidak boleh bertindak dan membiarkan rakyat Malaysia menderita. Ini bukan isu bencana alam semulajadi. Ini adalah bencana buatan manusia yang boleh diperbetulkan.
3. Berdasarkan rekod sidang parlimen pada tahun 2015, Menteri Sumber Asli dan Alam sekitar pada waktu itu menyatakan bahawa Presiden Indonesia membuat akujanji bahawa Indonesia memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk menyelesaikan masalah jerebu. Namun, masalah jerebu menghantui Malaysia setiap tahun sehingga sekarang.
4. Di peringkat antarabangsa, Nota Diplomatik bukanlah satu-satunya cara untuk mengajak Indonesia menyelesaikan masalah jerebu. Seharusnya Yeo Bee Yin menggesa ASEAN untuk mewujudkan atau memperkasakan Jawatankuasa Alam Sekitar Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan untuk mengatasi masalah ini. Penguatkuasaan adalah penting bagi menghindar teknik “tebas dan bakar” untuk membersihkan dan penanaman kelapa sawit. Dari sudut teknologi, Malaysia boleh berkongsi kepakaran dalam pengurusan tanah gambut secara lestari seperti pembinaan telaga air tanah (tube well) supaya tanah gambut tidak terbakar semasa musim panas dan kering.
5. Di dalam negara, Yeo Bee Yin sepatutnya melaksanakan usaha-usaha proaktif seperti menjalankan kajian-kajian mengesan titik-titik panas di rantau negara kita. Contoh jelas apabila Indonesia menafikan dakwaan Malaysia berdasarkan pemantauan satelit Himawari-8 mereka. Pada masa yang sama, usaha menjalankan pembenihan awam seharusnya dijalankan sejak minggu lepas, bukan apabila keadaan sudah terdesak. Kerajaan juga seharusnya membekalkan topeng kepada anak-anak di sekolah dan kelonggaran untuk diberi cuti kepada anak-anak di sekolah apabila bacaan IPU tidak sihat.
Selamatkan Malaysiaku!
#SelamatkanMalaysiaku #SaveMyMalaysia #PemudaMemimpin #PemudaIkatan #Ubahbalik
Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Pemuda Gagasan Sejahtera