JAKARTA – Sebanyak 14 artis Indonesia, antara 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen Indonesia untuk penggal 2019-2024 hari ini.
Antara 14 artis itu, dua daripadanya adalah penyanyi yang turut popular di Malaysia iaitu Krisdayanti dan penyanyi lagu “Mahkluk Tuhan Paling Seksi”, Mulan Jameela.
Proses angkat sumpah bermula 10 pagi tadi itu di dilakukan di hadapan Ketua Mahkamah Agung, Prof. Dr. H. M. Hatta Ali, di bangunan parlimen Indonesia.
Kawasan sekitar parlimen Indonesia di Jalan Gatot Soebroto, Senayan itu turut dikawal ketat oleh lebih 20,000 anggota pasukan keselamatan, berikutan rentetan kejadian rusuhan sejak minggu lepas, menjelang majlis angkat sumpah itu.
Memetik laporan media tempatan, artis-artis lain yang mengangkat sumpah hari ini adalah Eko Hendro Purnomo, Desy Ratnasari, Dede Yusuf Macan Effendi, Tommy Kurniawan, Primus Yustisio, Rieke Diah Pitaloka, Arzeti Bilbina, Rano Karno, Nurul Arifin, Farhan, Rachel Maryam Sayidina dan Nico Siahaan.
Beberapa siri demonstrasi berskala kecil bermula sejak tiga minggu lepas, menjadi semakin buruk bermula 24 September lepas dan terbaharu malam tadi, apabila ribuan mahasiswa, pelajar dan pihak tertentu mengadakan demonstrasi di luar kawasan parlimen Indonesia, membantah pelaksanaan pindaan Rang Undang-undang Kitab Hukum Pidana (RUU KUHP) atau pindaan undang- undang berkaitan jenayah.
Rancangan pindaan undang-undang itu didakwa mengurangkan kuasa Komisi Pembanterasan Korupsi atau badan yang menangani kes-kes rasuah di Indonesia, menyekat kebebasan hak asasi manusia serta melindungi kepentingan politik pihak-pihak tertentu.
Menurut laporan media tempatan, mahasiswa Indonesia merancang untuk mengadakan lagi demonstrasi besar-besaran petang ini.
Presiden Indonesia, Joko Widodo telah mengarahkan penangguhan undian parlimen terhadap undang-undang itu pada 20 Sept lepas, dan pastinya menjadi tanggungjawab anggota baharu DPR yang mengangkat sumpah hari ini untuk proses tindakan selanjutnya.
Jokowi yang turut hadir pada majlis itu, dijadual mengangkat sumpah sebagai presiden Indonesia untuk penggal kedua pada 20 Oktober ini.