KUALA LUMPUR – MCA pada Isnin memutuskan 30 November hingga 1 Disember sebagai tarikh baharu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu, berikutan tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini bertembung dengan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon, dalam kenyataannya berkata AGM itu bermula akan pada malam 30 November hingga 1 Disember manakala AGM bagi Pemuda serta Wanita MCA pula pada 30 November.
Rabu lalu, MCA memaklumkan penangguhan AGM parti itu yang dijadualkan pada 2 hingga 3 November, berikutan tarikh itu bertembung dengan hari penamaan calon PRK Tanjung Piai.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRK Parlimen Tanjung Piai pada 2 November, pengundian awal pada 12 November dan hari pengundian pada 16 November ini.
PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafiq, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, 21 September lalu, berikutan komplikasi jantung.