TAWAU – Kesemua enam suspek utama yang disyaki terlibat dalam pembunuhan kejam seekor gajah Pygmy di Sungai Udin, Dumpas Kalabakan dekat sini, pada Khamis lepas, ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut.
Suspek yang terdiri daripada lima warga tempatan serta seorang pendatang haram berusia antara 48 hingga 68 tahun berkenaan ditahan semalam dan permohonan reman mereka dibuat pada pukul 10.15 pagi ini di Mahkamah Tawau oleh Pegawai Penyiasat Polis, Inspektor Azlinda Buang.
Perintah tahanan reman kemudian dikeluarkan Majistret Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus.
Siasatan dibawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.
Semalam, polis menahan enam lelaki termasuk seorang peneroka dan pekerja digajikan khas Felda serta seorang pendatang haram, susulan pembunuhan kejam menggunakan senjata buatan sendiri terhadap seekor gajah Pygmy di kawasan hulu Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan dekat sini pada Khamis.
Kesemua tangkapan itu dilakulan dalam serbuan Ops Khazanah antara pukul 12.20 tengah malam hingga pukul 12.30 tengah hari.