KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Menteri Kedua Pulau Pinang, P. Ramasamy mendakwa wujud cubaan pihak tertentu untuk mengaitkan beliau dengan pergerakan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) bagi menghentikan kritikan terhadap penceramah, Zakir Naik.
Kata beliau, peranannya di Sri Lanka lebih melibatkan tugas sebagai seorang pendamai namun disalahertikan sebagai memberi sokongan kepada LTTE.
āSaya percaya tindakan ini berniat untuk menghentikan saya dari terus mengkritik Zakir Naik. Namun saya secara peribadi tidak ada apa-apa masalah atau tentangan ke atas pendakwah bebas itu.
āZakir Naik datang ke Malaysia ceramah tentang Islam tidak ada masalah tapi cuma jangan burukkan orang bukan Islam, jangan api-apikan kita, jangan pertikai kesetiaan kita.
āSaya lahir di sini, belajar di sini, kahwin di sini dan akan mati juga di sini,ā katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan kepada polis selama lebih tiga jam bermula 10 pagi hingga 2 petang tadi.
Menyentuh peranannya dalam proses pendamaian perang saudara di Sri Lanka, Ahli Dewan Undangan Negeri Perai itu berkata, dia menyertai Jawatankuasa Hal Ehwal Perlembagaan yang ditubuhkan Norway.
āSaya ke sana pada tahun 2003 bersama enam ahli-ahli lain dan saya telah dipilih berdasarkan kepakaran saya sebagai ahli akademik dalam bidang sains politik.
āTugas saya di sana sama seperti ketika bersama Gerakan Acheh Merdeka (GAM) yang mana membantu masyarakat 99 peratus Islam mencapai kemerdekaan, di Mindanao juga. Persoalannya kenapa saya tidak dikaitkan dengan penglibatan dalam GAM tetapi hanya dikaitkan dengan LTTE.
āSaya juga bantu masyarakat Acheh berkenaan tetapi tidak siapa pun menyatakan saya pejuang dan penyokong masyarakat Islam Acheh dan janganlah fitnah saya dengan kaitkan dengan LTTE, saya tidak ada kena mengena dengan itu,ā ujarnya.