KUALA LUMPUR – Rakaman gambar kandid Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah cuba memberi kucupan pada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah mencuri perhatian ribuan warga maya.
Melalui hantaran akaun Twitter @cheminahsayang petang ini, Tunku Azizah memuat naik beberapa siri gambar yang dirakam secara spontan semasa sesi fotografi pasangan di raja itu.
Satu daripada gambar tersebut adalah ketika Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah memalingkan muka dan memuncungkan bibir untuk memberikan ciuman, sedang Tunku Azizah dalam keadaan tidak bersedia.
Hantaran dengan kapsyen “fuyuuuuuuuu..” itu menerima tanda suka sebanyak lebih 30,000 kali dan diulang kicau lebih 5,000 kali.
Perkongsian itu disifatkan warga maya sebagai momen yang sangat indah dan cukup romantik.
Dalam siri kandid bertajuk “The King and I” itu, Tunku Azizah turut memuat naik aksi mencuit hati cucu baginda, Adam yang melakukan ‘fotobomb’ ketika sesi fotografi sedang berlangsung. – UTUSAN ONLINE