KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah lori di Jalan Syed Putra di sini, hari ini.
Muhammad Shakiran Shamsuddin, 30, anggota di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Isterinya, Nurul Ashikin Kamaruddin, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata pasangan itu dalam perjalanan dari arah Petaling Jaya menuju pusat bandar ketika kejadian.
“Kemalangan berlaku kira-kira jam 8 pagi apabila motosikal ditunggang merempuh bahagian belakang kiri sebuah lori.
“Motosikal mangsa berada di lorong paling kiri dan ketika ingin beralih ke lorong tengah, motosikal terbabit melanggar kiri belakang lori yang berhenti akibat kesesakan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Zulkefly berkata, anggota polis terbabit mengalami kecederaan teruk di perut dan meninggal dunia pada jam 10.15 pagi, manakala jenazah isterinya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.
Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.