KUALA LUMPUR – Kempen #BoycottMalaysia yang dilancarkan rakyat India di laman sosial Twitter tidak menjejaskan kedudukan negara di persada antarabangsa serta hubungan dua hala antara Malaysia dan India.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya yakin kempen boikot sebagai respons kepada ucapan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-74 di New York yang menyentuh isu Jammu dan Kashmir itu, kini semakin menurun.
“Kita telah menganalisis, saya yakin boikot itu semakin menurun dan boleh dikatakan tidak ada lagi pada hari ini,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin berkata demikian semasa menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang ingin tahu pendirian Malaysia terhadap kempen #BoycottMalaysia yang dilancarkan rakyat India susulan ucapan Mahathir di UNGA baru-baru ini.
Kenyataan Mahathir, yang antara lain menyentuh isu Jammu dan Kashmir dan menyeru India bekerjasama dengan Pakistan menyelesaikan isu itu, mengundang banyak komen netizen, dipercayai warga India, di laman Twitter yang menyuarakan rasa kecewa mereka menerusi #BoycottMalaysia.