SHAH ALAM – Isu maruah Melayu yang sering dipandang hina di negara sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata hanya Melayu yang boleh memulihkan maruah mereka sendiri tanpa mengharapkan orang lain untuk melakukannya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan dengan sendirinya walaupun dipimpin oleh Melayu, tidak boleh memulihkan maruah Melayu sekiranya kaum itu tidak mahu berusaha untuk mengubah nasib mereka.
“Jangan minta orang lain lakukan sesuatu untuk memulihkan maruah kita. Melayu sendiri kena pulihkan maruah Melayu,” katanya ketika berucap pada Kongres Maruah Melayu di sini hari ini.
Mahathir menjelaskan, kerajaan hanya mampu menyediakan peluang untuk Melayu ambil bahagian dalam pelbagai bidang di negara ini.
Bagaimanapun, usaha untuk memulihkan maruah Melayu sukar sekiranya bangsa itu sendiri tidak mahu berusaha mengambil dan menggunakan peluang yang disediakan oleh kerajaan dengan sebaiknya.
“Maruah Melayu bergantung kepada pencapaian kita sendiri. Kalau kita mampu tadbir negara dengan baik, gunakan peluang yang ada dengan baik, bekerja dengan baik, mampu keluarkan barang pengguna, tiada siapa boleh jatuhkan maruah kita,” katanya.
Mahathir berucap di hadapan ribuan hadirin termasuk para pemimpin parti politik Melayu, ahli akademik, badan bukan kerajaan dan apa yang disifatkannya kehadiran Melayu yang “sedar” di majlis itu.
Pada majlis itu, Mahathir turut melahirkan rasa sedih kerana maruah Melayu dipandang hina atas kesalahan mereka sendiri.