PETALING JAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan tuduhan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming terhadapnya berhubung catatan di sebuah akaun Facebook yang didakwa berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor.
Bekas perdana menteri itu meminta Kor Ming sedar bahawa pihak yang membuat laporan polis terhadapnya dan akaun Facebook “Nga Kor Ming Super Fans Page” adalah Istana Selangor selepas mendapat arahan Sultan Selangor.
“Jika saya fitnah Kor Ming, adakah ini bermakna Istana Selangor juga sudah membuat laporan polis palsu dan juga sudah memfitnah Kor Ming,” katanya di Facebook hari ini.
“Adakah Kor Ming tidak mahu buat laporan palsu atau mengeluarkan kenyataan akhbar mengecam Istana Selangor?” tambahnya.
Kor Ming dalam kenyataan yang dikongsi Najib selepas keterangannya diambil Bukit Aman hari ini menggesa polis menyiasat akaun Facebook Najib Razak yang didakwa menyebar berita palsu dan melakukan fitnah.
Kor Ming mendakwa akaun itu didapati menggunapakai “mirror page” palsu “Nga Kor Ming Super Fans Page”, kemudian menggunakan catatan palsu cuba menganiayanya, dengan mendakwa beliau terlibat dalam penyebaran berita palsu menghasut orang Cina benci Sultan Selangor dalam isu papan tanda jalan dwi bahasa.
Najib berkata beliau kagum Kor Ming masih cuba menuduhnya.
“Satu persatu saya telah buktikan semua tuduhan dia adalah palsu dan laman Facebook Nga Kor Ming Super Fans itu memang ada kaitan dengan dia serta catatan itu memang pernah dibuat oleh laman ‘original’ Nga Kor Ming Super Fans,” katanya.
Pada 2 Oktober lalu Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Mansor memaklumkan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan susulan satu laporan terhadap pemilik akaun Facebook Nga Kor Ming Super Fans Page.
Pemilik akaun Facebook itu didakwa mengeluarkan status menghasut pengikutnya untuk melakukan bantahan terhadap Sultan Selangor susulan penggunaan papan tanda dwi bahasa.
Katanya, laporan itu dibuat pada 1 Oktober oleh pengiring Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam. – FMT