KUALA LUMPUR – Kabinet dalam mesyuaratnya telah membangkitkan kebimbangan mengenai aduan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin berhubung terbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM5 bilion oleh Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Datuk Seri Najib Razak memberitahu perkara ini pada hari ke-19 perbicaraan bekas perdana menteri itu yang menghadapi pertuduhan berhubung dana 1MDB.
Shafee merujuk minit mesyuarat Kabinet pada Jun 2009 kepada bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang merupakan saksi kesembilan pendakwaan.
Beliau berkata mesyuarat itu dipengerusikan oleh Muhyiddin Yassin kerana Najib ketika itu berada di Korea untuk lawatan rasmi.
Ketika membacakan dengan kuat di mahkamah petikan ucapan Sultan yang menzahirkan kebimbangan, Shafee berkata “Muhyiddin telah menghadap sultan pada pagi Rabu pada 3 Jun 2009 berhubung kebimbangan baginda mengenai penerbitan bon oleh TIA.
“Bahawa Islamic Medium Term Notes (IMTN) tersebut tidak sepatutnya diluluskan oleh TIA memandangkan masih banyak isu dan perkara berhubung TIA yang belum dimuktamadkan.
“Antaranya isu di peringkat negeri Terengganu sendiri misalnya berhubung dana TIA yang akan diperoleh daripada royalti minyak. Jawatankuasa Selian Khas…belum dimuktamadkan dan Yayasan TIA belum ditubuhkan,” katanya.
Shafee menambah, Agong juga bimbang terbitan IMTN bermakna dana TIA diperoleh melalui pinjaman oleh kerajaan Terengganu kerana TIA sebuah syarikat bawah Menteri Besar Diperbadankan (Terengganu).
Beliau berkata sultan juga menitahkan “ini adalah tidak selaras dengan penubuhan TIA. Asas penubuhan TIA adalah kerajaan persekutuan akan menyediakan dana permulaan TIA menggunakan wang royalti minyak yang perlu dibayar kepada kerajaan Terengganu.
“Justeru tidak sepatutnya wujud elemen liabiliti bagi pihak TIA dalam mendapat dana tersebut,” katanya.
Shafee berkata timbul juga isu sultan tidak mahu berkompromi dengan jumlah royalti yang diterima sebagai asas dana di pihak mereka.
Beliau berkata minit menyatakan “bahawa tujuan asal penubuhan TIA untuk membolehkan kerajaan Terengganu menguruskan royalti minyak untuk melaksanakan pembangunan negeri Terengganu.”
Selepas Shafee selesai membaca kandungan minit mesyuarat, Shahrol Azral berkata: “Ya.”
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.