KUALA LUMPUR – MCA hari ini mempersoalkan menteri dan timbalan menteri pendidikan terus membisu berhubung tindakan seorang graduan Universiti Malaya (UM) mengadakan protes pada majlis konvokesyennya Isnin lalu.
Katanya, Kementerian Pendidikan perlu berbincang dengan UM dan mengambil tindakan segera bagi menangani isu itu.
“Saya kecewa pimpinan seperti (Menteri Pendidikan) Maszlee Malik dan (timbalannya) Teo Nie Ching tidak keluar kenyataan sebab perkara ini di bawah khidmatnya.
“Anda adalah kerajaan hari ini dan harus lebih sensitif terhadap semua isu ini. Tidak boleh berdiam diri seolah-olah masalah ini boleh diselesaikan serta-merta,” katanya di lobi Parlimen.
Kontroversi tercetus pada Isnin lalu apabila aktivis pelajar, Wong Yan Ke membawa plakad ke pentas ketika menerima ijazah.
Bekas presiden Persatuan Belia Baru UM yang lantang itu mengadakan bantahan terhadap Naib Canselor, Abdul Rahim Hashim yang didakwa memalukan universiti itu melalui pembabitannya dalam Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lalu.
Rahim dilapor menyampaikan ucapan berbaur perkauman dalam himpunan itu yang dianjurkan UM dan tiga universiti awam lain.
UM kemudiannya membuat laporan polis terhadap Wong atas dakwaan dia menjejaskan imej universiti dan mengganggu protokol konvokesyen.
Susulan itu, graduan jurusan Kejuruteraan Awam itu dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Daerah Petaling.
Difahamkan, Rahim juga akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat. – FMT