KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyemak kewujudan semua institusi termasuk Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).
Bagaimanapun, kerajaan masih belum membuat keputusan untuk membubarkan Mavcom.
Bercakap di lobi Parlimen hari ini, Tun Dr. Mahathir Mahathir berkata, semakan itu adalah untuk mengkaji sama ada institusi ini “dipengaruhi oleh kerajaan lepas”.
“Kami sedang melihat semuanya. Ini adalah kerajaan baharu. Kita sedang mengkaji semua institusi yang terlibat dengan kerajaan dahulu, jika ada keperluan untuk berubah, kita akan ubah,” katanya.
Minggu lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu forum berkata, kerajaan sedang merangka penyusunan semula badan pengawal selia sedia ada dalam sektor penerbangan.
Selain Mavcom, badan kawal selia yang lain dalam sektor penerbangan ialah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Dalam pada itu, Perdana Menteri itu memaklumkan kerajaan masih mengkaji cadangan perniagaan untuk memulihkan Malaysia Airlines Berhad.
“Malaysia Airline adalah syarikat rugi. Ia telah melakukan banyak perubahan, idea dan pengurusan tetapi masih rugi tetapi masih lagi rugi.
“Ada pihak yang kata boleh memulihkannya, kita akan mengkaji, kita kaji semuanya. Kalau anda sebarang idea, kita mengalu-alukan,” kata Dr. Mahathir.