KUALA LUMPUR – Tiada keterangan jelas diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengaitkan 12 individu yang ditahan sebelum ini dengan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim dalam kejadian rusuhan di Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya dekat sini tahun lalu.
Bagaimanapun, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan memanggil kesemua individu tersebut jika ada keterangan lain yang menyokong pembabitan mereka.
Bagaimanapun, katanya, siasatan kes berkenaan menunjukkan bahawa tiada keterangan jelas untuk mengaitkan mereka yang ditahan sebelum ini dengan kejadian tersebut.
āJadi kita (polis) tidak nampak isu untuk individu terbabit untuk melarikan diri ke luar negara kerana siasatan sudah pun dijalankan terhadap mereka seperti yang sudah diputuskan Mahkamah Koroner yang mengatakan dua orang atau lebih terbabit dalam kejadian berkenaan.”
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung persoalan ahli politik pembangkang sama ada empat individu yang sebelum ini ditahan berkaitan kematian Muhammad Adib masih berada di dalam negara atau sebaliknya.
Jumaat lalu, Koroner Rofiah Mohamad, memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.
Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember lalu selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya dekat sini pada 27 November, tahun lalu.