KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof berkata, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang hanya mengambil sejam dengan menaiki kereta terbang berbanding empat jam menggunakan jalan darat.
Katanya, prototaip kereta terbang dijangka dilancarkan akhir tahun ini dengan kosnya ditanggung pihak swasta.
Beliau berkata, pihaknya dalam usaha melancarkan projek ini secepat mungkin, termasuk memperkenalkan undang-undang melibatkan kereta terbang.
“Kita pergi ke Pulau Pinang perlukan empat jam sekarang, pihak swasta dan usahawan sedang berbincang untuk membolehkan kita ke Pulau Pinang dalam sejam menggunakan kereta terbang.
“Ada perbincangan awal untuk memastikan perkara ini boleh direalisasikan dalam masa terdekat pada 2020,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang ingin tahu tarikh spesifik projek kereta terbang akan dilancarkan.
Pada 2 Julai lalu, Redzuan dilaporkan berkata, model prototaip kereta terbang pertama Malaysia akan didedahkan kepada orang ramai pada bulan ini dan projek dipacu teknologi tempatan itu tidak menggunakan sebarang dana kerajaan.
Sementara itu, Redzuan berkata, industri mobiliti udara mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara serta membangunkan perusahaan kecil dan sederhana.
Katanya, projek kereta terbang itu akan mendorong pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI), data besar dan “Internet of Things” yang sedang berkembang pesat di peringkat antarabangsa.
“Projek ini tidak melibatkan sebarang peruntukan kerajaan dan kerajaan tidak akan menanggung sebarang kerugian sekiranya projek ini tidak berjalan seperti yang dirancang.”