KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa melakukan siasatan terhadap DAP berhubung penerbitan dan penyebaran Buku Komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama”.
Gesaan itu dilontarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana parti itu dilihat seolah-olah cuba menghalalkan perjuangan komunis di negara ini.
“Pembangkang gesa KDN siasat semua pemimpin DAP dan sesiapa sahaja yang terbabit dalam penerbitan komik yang bertentangan.
“DAP di bawah ROS (Pendaftar Pertubuhan), adalah salah terbabit dengan perkara menyalahi undang-undang,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Jelas Ismail Sabri lagi, ROS juga perlu menyiasat DAP kerana nama parti itu tertera dalam komik berkenaan.
“Kami desak ROS kaji penubuhan DAP dan desak jika didapati salah, (DAP) perlu diharamkan. Kita melihat pembabitan DAP dalam kegiatan keganasan apabila ada beberapa pemimpinnya terbabit LTTE,” desak Ahli Parlimen Bera itu lagi.
Dalam pada itu, barisan pembangkang hari ini menyambut baik pengharaman terhadap pengedaran dan penerbitan komik Hew Kuan Yau yang menjadi kontroversi selepas diedarkan di sekolah tertentu di Pulau Pinang.
Perintah Larangan itu turut terpakai bagi versi bahasa Inggeris “Belt & Road Initiative For Win-Winism” dan versi Bahasa Cina “互利共赢的 一带一路 ” melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 288/2019.
Awal hari ini Menteri KDN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya akan merampas buku komik terbabit jika ia masih berada dalam pasaran. – MalaysiaGazette