SHAH ALAM – Peguam Negara, Tommy Thomas belum menentukan untuk memberi keterangan dalam perbicaraan komital (menghina mahkamah) yang difailkan terhadapnya oleh keluarga Muhammad Adib Mohd. Kassim berhubung prosiding inkues bagi mencari punca kematian anggota bomba itu.
Perkara itu dimaklumkan peguam Mohd. Hanif Katri Abdulla selaku pemohon yang mewakili keluarga Muhammad Adib pada prosiding sebutan kes komital di hadapan Koroner Rafiah Mohamad di Mahkamah Koroner di sini sebentar tadi.
Menurut Mohd. Hanif setakat ini Tommy belum memutuskan sama ada memberi kenyataan dalam kandang saksi atau semata-mata bergantung kepada afidavit atau menggunakan kedua-dua kaedah itu.
“Kita tidak boleh menjangkakan bila (dia akan membuat keputusannya) kerana tidak ada garis masa untuknya memberitahu mahkamah,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan Peguam Kanan Persekutuan untuk menangguhkan prosiding kes komital itu, pagi tadi.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy, memberitahu mahkamah, ketika ini pihaknya hanya menerima arahan akan menggunakan dua afidavit yang difailkan Peguam Negara dan bekas pengendali inkues, Hamdan Hamzah sebelum ini.
“Berhubung permohonan substantif (permohonan utama), kami sudah menghantar surat pada 30 September lalu kepada Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate untuk memaklumkan responden terima pakai menggunakan dua afidavit sebelum ini. Kami pohon satu tarikh singkat untuk penggantungan prosiding,” katanya.
Berikutan itu mahkamah kemudian menetapkan 21 Oktober ini untuk mendengar permohonan penggantungan perbicaraan komital itu.
Pada 27 September lalu, mahkamah sama memutuskan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah daripada lebih dua orang yang tidak dikenali.
Rofiah dalam keputusannya berkata, mahkamah menerima teori dikemukakan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid bahawa kecederaan dialami Muhammad Adib adalah disebabkan perusuh menendang pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang mengena dada Allahyarham sehingga menyebabkan Muhammad Adib tersepit.
Menurutnya, saksi itu juga memberitahu, Muhammad Adib sekali lagi ditarik dan perusuh kemudian menerajang pintu EMRS yang mengenai tangannya hingga menyebabkan luka seret.
Rofiah turut memberitahu, kegagalan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.
Sementara itu, di akhir keputusannya, Rofiah menyerahkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Peguam Negara untuk teruskan siasatan dan menjalankan pendakwaan sekiranya wajar.
Pada 27 Ogos lalu, mahkamah sama membenarkan permohonan komital keluarga Muhammad Adib terhadap Tommy.
Rafiah memutuskan demikian selepas mendapati wujud prima facie atas imbangan kebarangkalian dalam kes inkues itu serta berpuas hati dengan hujahan kedua-dua belah pihak yang dikemukakan sebelum ini.
Pada 16 Julai lalu, bapa Muhammad Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid, 65, memfailkan permohonan perintah komital kepada Peguam Negara, Tommy Thomas kerana menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.
Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd. Zubir Embong Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.
Allahyarham Muhammad Adib terlibat dalam rusuhan ketika kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November tahun lalu, namun menghembuskan nafas terakhirnya 21 hari kemudian. – K! ONLINE