KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan polis mempunyai bukti sebelum melakukan penahanan terhadap individu-individu yang disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan pihaknya bukan dilakukan secara sewenang-wenangnya dan ia tiada kaitan dengan isu politik, kaum mahupun agama.
Menurutnya, polis juga akan mengambil tindakan terhadap mana- mana individu yang terlibat dengan kumpulan keganasan tidak kira pemimpin politik atau sebaliknya.
“Kita mengambil pendirian apa juga kegiatan yang menjejaskan keselamatan negara seperti mana polis mengambil tindakan kepada kumpulan Jemaah Islamiah (JI), al-Qaeda, Daesh dan Sikh.
“Kita akan ambil tindakan tidak kira siapa terlibat, sama ada dia adalah pemimpin dalam politik atau bukan. Polis ada bukti sebelum tangkapan dibuat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat PDRM 2019 di Bukit Aman hari ini.
Abdul Hamid berkata, siasatan yang dijalankan polis adalah adil dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) tanpa mengira latar belakang sama ada pemimpin politik atau sebaliknya.
“Segala bentuk tindakan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa di mana perkara itu akan diteliti dan disiasat sebelum menunggu laporan selanjutnya.
“Saya beri jaminan kepada mereka yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan adalah bagi menghentikan kegiatan itu dari terus ke peringkat yang berbahaya seperti pengebom berani mati. Kita cuba hentikan dan ambil tindakan untuk memulihkannya,” katanya.
Beliau turut menafikan tuduhan mengatakan PDRM menafikan hak individu ditahan malah mereka ditahan diberi hak mengikut peruntukan undang-undang.
“Saya mohon pemimpin politik bertenang. Isu keselamatan adalah tanggungjawab PDRM. Saya akan berlaku adil mengikut SOP sekiranya didapati tidak bersalah, kita akan rujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan selanjutnya.
“Kita tidak mahu insiden seperti serangan terhadap Menteri Hal Ehwal Keselamatan, Perundangan dan Politik Indonesia, Jeneral Wiranto berlaku di sini (Malaysia). Segala bentuk keganasan akan kita tangani,” katanya.
Kelmarin, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan dalam operasi khas dilancarkan di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perak bermula jam 9 pagi hingga jam 2 petang selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Kedua-dua ADUN terbabit dikesan menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka pada 28 November tahun lalu dan memberikan ucapan berunsur sokongan terhadap kumpulan pengganas terbabit, selain turut mengedarkan risalah berkaitan kumpulan itu.