KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Maszlee Malik hari ini mempertahankan Teo Nie Ching berhubung gambarnya memegang komik kontroversi “Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama”, mengatakan timbalannya bukan menyokong buku yang diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana mempromosikan sosialisme dan komunisme.
“Dia (Teo) telah beri maklum balas di Facebook mengatakan dia diberikan buku itu dan gambarnya diambil.
“Insiden yang sama berlaku kepada perdana menteri – dia diberikan buku itu dan gambarnya diambil,” kata Maszlee semasa sesi Soalan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Mastura Yazid (BN-Kuala Kangsar) yang mempersoalkan penerimaan komik itu oleh Teo daripada penulisnya, Hew Kuan Yau dan kata pengantar ditulis Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Maszlee berkata ia bukan kejadian terpencil dan ramai menteri didekati oleh penulis dengan memberikan buku mereka dan meminta bergambar bersama.
“Ini tidak boleh dilihat sebagai bukti sokongan. Teo sendiri berkata dia tidak pernah memberikan sebarang kenyataan menyokong buku itu.
“Apa yang penting adalah menteri pendidikan tidak benarkan buku itu (diedarkan) di sekolah. Keputusan itu di tangan saya,” katanya.
Mazlee sebelum ini berkata semua pejabat pendidikan negeri dan daerah diarahkan untuk memastikan sekolah tidak menerima dan mengedarkan buku.
Menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang bertanya tentang langkah kementerian bagi menghentikan pengedaran buku tersebut, beliau berkata kementeriannya sedang bekerjasama dengan KDN berhubung perkara tersebut. – FMT