KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa langkah DAP yang menafikan penglibatan mereka dalam pengeluaran dan penyebaran Buku Komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ akan menjejaskan kredibiliti parti itu.
Biarpun parti itu telah menafikan penglibatan mereka, Najib percaya perkara itu akan ditolak mentah-mentah oleh rakyat.
“Kata-kata pengantarnya dimuatkan dengan kata pengantar daripada pemimpin-pemimpin DAP.
“Kalau dia nak nafikan menampakkan kredibiliti DAP telah rosak dalam hal ini kerana orang tidak percaya.
“Secara langsung mereka sudah terlibat dan nak nafikan pula tidak tahu menahu, itu satu tindakan yang boleh membawa kepada kerosakan kredibiliti DAP,” katanya kepada media, hari ini.
Najib diminta mengulas mengenai penyebaran komik Hew Kuan Yau yang menjadi kontroversi selepas diedarkan di sekolah tertentu di Pulau Pinang.
Khamis lalu, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menolak dakwaan mempunyai kaitan dengan pengurusan Muzium Kebudayaan Komik Asia yang menyebar komik didakwa berbentuk propaganda diedarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan di negara ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, pihaknya tidak mengetahui mengenai kewujudan komik bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang didakwa diterbitkan Muzium Kebudayaan Asia di Komtar.
Dalam pada itu, Najib bersetuju dengan tindakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang tidak membenarkan pengedaran buku komik kepada institusi pendidikan termasuk sekolah adalah berlandaskan undang-undang.
“Saya setuju dengan Dr. Maszlee langkah untuk menyekat komik ini diedarkan di sekolah-sekolah,” katanya.
Ini kali pertama Najib bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Maszlee Malik.
Maszlee pada Ahad lalu berkata, pengedaran komik Inisiatif Jalur dan Jalur Meraih Manfaat Bersama terbitan seorang bekas pemimpin DAP ke sekolah itu tidak mendapat kebenaran kementerian. – MalaysiaGazette