PETALING JAYA – “Saya tidak kisah anak dikebumikan di mana sahaja,” kata Miswan Sayuti, yang kehilangan anaknya, Azalan yang terbabit dalam kemalangan bas di Turki, semalam.
Menurutnya, keluarga masih berbincang sama ada untuk membawa pulang jenazah atau meneruskan urusan pengebumian di sana kerana menantunya, Wan Faridah Ahmad mahu jenazah suaminya dikebumikan di Turki.
“Kami masih berbincang kerana Wan Faridah mahu jenazah Azalan dikebumikan di sana. Saya tidak kisah mana-mana yang mudah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Medan di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, kali terakhir bertemu anak sulung daripada tujuh beradik itu ketika beliau melawat ibunya, Rosnani Hamzah, 68, yang sakit baru-baru ini.
“Dia hanya berpesan kepada kami jangan pergi jauh-jauh,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Mahfizul Rusydin Abd Rashid berkata, pihaknya masih menunggu keputusan daripada ahli keluarga berhubung urusan pengebumian Allahyarham Azalan.
Dalam kejadian semalam, Azalan, 50, maut selepas bas yang dinaiki bersama 34 rakyat Malaysia terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappodokya.
Mahfizul Rusydin berkata, 35 rakyat Malaysia yang menyertai rombongan tersebut dilindungi insurans dan pihaknya bersedia membantu membawa pulang kesemua mangsa.
Jelasnya, setakat 3.30 petang tadi, seramai lapan mangsa masih menerima rawatan di hospital dan daripada jumlah itu, empat daripadanya cedera parah.
Katanya, mangsa yang tidak cedera ditempatkan di sebuah hostel berdekatan hospital.