KUALA LUMPUR – Mogul fesyen tempatan, Neelofa berjaya merangkul kemas trofi anugerah Influencer Awards 2019 Monaco dalam kategori Usahawan atas pencapaiannya sepanjang tahun 2018 dalam majlis yang berlangsung di Monte Carlo, Monaco semalam.
Teruja dengan pengiktirafan itu, Neelofa, 30, berkata, dia berasa bangga dan syukur menerima anugerah berkenaan memandangkan setiap penerima yang dipilih oleh juri dan calon-calon setiap kategori datang daripada seluruh dunia.
“Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur dan teruja menerima anugerah ini.
“Memandangkan pemilihan setiap penerima anugerah dibuat berdasarkan penilaian juri dari New York, Los Angeles, Perancis dan negara Timur Tengah, ia membuatkan anugerah ini bertambah istimewa,” kata pengacara dan pelakon popular ini.
Menurut Neelofa, bisnes hijab yang diusahakan sejak 2014 dan prioritinya terhadap fesyen sederhana berteraskan Islam telah membuka peluang untuknya mengembara dan memperkenalkan Malaysia ke persada dunia.
“Saya sendiri tidak sangka diberikan pengiktirafan sebegini rupa. Bermula dengan perniagaan kasut secara kecil-kecilan di rumah membawa kepada kewujudan jenama Naelofar, pengiktirafan ini merupakan titik tertinggi dalam karier bisnes saya setakat ini.
“Sejujurnya, saya berasa sangat bertuah memandangkan bisnes hijab ini mampu menjadi platform buat saya memperkenalkan negara kita dan fesyen sederhana kepada orang luar,” katanya.
Influencer Awards 2019 Monaco merupakan penganjuran kedua selepas diadakan dengan jayanya pada tahun lalu.
Anugerah ini direalisasikan oleh Pauline Ducruet iaitu anak sulung kepada Puteri Monaco, Puteri Stephanie dan beberapa individu lain seperti Lolita Abraham, Maxime Giaccardi dan Thomas Peters.