PETALING JAYA – Pakar ekonomi berpendapat adalah baik jika kerajaan Pakatan Harapan melakukan pusingan-U dengan melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilihat lebih efektif berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Walau bagaimanapun, kerajaan diminta tidak melakukan pusingan tersebut secara tergesa-gesa, tetapi harus mengambil setahun hingga dua tahun untuk mengaktifkan semula GST.
Selain mengkaji punca kegagalan GST sebelum ini, kerajaan juga perlu menambah baiknya terutamanya dalam soal kesan kos sara hidup.
Pakar ekonomi, Datuk Chua Tia Guan berkata, bantahan terhadap GST sebelum ini didorong oleh beban rakyat yang meningkat.
āNilai ringgit jatuh dan inflasi untuk produk import berlaku pada masa itu.
āKerajaan pada masa itu mahu menggandakan hasil cukai melalui GST dan kutipan itu berasal daripada rakyat,ā katanya kepada Sinchew Daily ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan semula GST.
Tia Guan berkata, SST mempunyai ākecacatan semula jadiā yang menyebabkan ketirisan tidak kira apa yang dilakukan untuk menambah baiknya.
āSST merupakan sistem cukai āsatu lapisā manakala GST mempunyai āpelbagai lapisā. Ketirisan cukai mudah berlaku dalam SST.
āDisebabkan cukai input dalam GST, peniaga pasti akan mendapat resit rasmi daripada pembekal kerana mereka mahu menuntut kredit cukai input. Keadaan ini menyebabkan ketirisan cukai berkurangan secara signifikan,ā katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie bersetuju bahawa GST lebih berkesan berbanding SST.
Heng Guie bagaimanapun berpendapat kerajaan harus menetapkan kadar GST pada empat peratus jika mahu melaksana semula rejim cukai tersebut.
Katanya, ketika pelaksanaan GST sebelum ini, ia bertembung dengan gelombang inflasi dan kejatuhan nilai ringgit yang membawa kepada rungutan rakyat.
āGST dapat menyumbat ketirisan,Ā menambah hasil kerajaan, menyelesaikan masalah hutang negara dan merancakkan projek pembangunan.
āJika ditambahkan dengan usaha kerajaan dalam membanteras rasuah dan pelaksanaan perbelanjaan yang berhemah, ia dapat menambah baik keadaan perbendaharaan negara,ā katanya. – MalaysiaGazette