KUALA LUMPUR – Pertubuhan Bangsa-Bersatu (PBB) memuji usaha kerajaan untuk memupuk perpaduan dan keharmonian antara agama, khususnya cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Keharmonian dan Perdamaian Nasional.
Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet berkata terdapat aspirasi kuat untuk perubahan positif di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat pelbagai etnik dan berbilang agama tetapi yang menimbulkan keprihatinan ialah bagaimana perubahan itu akan memberi kesan terhadap kepentingan pelbagai sektor masyarakat.
“Cabaran utama adalah bagaimana untuk menangani ucapan berbaur kebencian, dengan membezakan antara ucapan yang dibenarkan dan ucapan yang mungkin mengandungi elemen-elemen berbaur hasutan.
“Pelan Tindakan Rabat yang diterima pakai pada 2012 dan mendasari undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, memberikan panduan berguna dalam hal ini, dan saya telah menawarkan bantuan pejabat saya dan mekanisme hak asasi manusia PBB yang lain untuk mengkaji perkara ini dengan lebih mendalam,” katanya dalam sidang media pada akhir lawatan empat harinya ke Malaysia, di sini, hari ini.
Malaysia adalah destinasi pertama lawatan Bachelet ke Asia Tenggara sejak memegang jawatan itu pada September 2018, dan lawatan ke Malaysia adalah atas jemputan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah semasa bertemu di luar acara Majlis Hak Asasi Manusia pada 26 Feb di Geneva, Switzerland.
Dalam lawatan itu, Michelle juga bertemu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menteri kabinet serta institusi hak asasi manusia kebangsaan, dan pelbagai organisasi masyarakat sivil.
Bachelet juga mengalu-alukan langkah penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis yang merupakan langkah penting dalam menangani isu penderaan, layanan buruk dan mati dalam tahanan, serta langkah-langkah untuk menaik taraf beberapa penjara yang telah lama.
Beliau juga menghargai dasar dan strategi yang bertujuan untuk memperkasakan wanita dan difahamkan beberapa undang-undang menunggu kelulusan termasuk mengenai gangguan seksual di tempat kerja.
“Mengenai isu perkahwinan bawah umur, kami membincangkan cara untuk mencapai standard harmoni di seluruh negara, menaikkan umur minimum untuk pendidikan wajib, dan menangani faktor-faktor penyumbang seperti kehamilan remaja,” katanya.
Mengenai isu Rohingya, Bachelet yang berpeluang melawat ke pusat pembelajaran alternatif untuk pelarian Rohingya semasa lawatannya berharap memberi pengiktirafan kepada pelarian dari segi undang-undang dapat diperkuatkan dan hak bagi pendidikan dan akses ke pasaran pekerjaan dapat dijamin kepada semua pelarian.
Bachelet berharap kerajaan akan menarik balik beberapa undang-undang yang menghalang kebebasan bersuara dan perbahasan umum termasuk Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Perhimpunan Aman dan Akta Rahsia Rasmi.
Beliau juga mahu kerajaan mengekalkan moratorium semasa mengenai hukuman mati dan mengalu-alukan pengumuman bulan lepas bahawa pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk mengkaji bentuk hukuman alternatif terhadap hukuman mati mandatori.