IPOH – Seorang pembantu rumah yang didakwa dirogol Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong menjadi saksi pertama perbicaraan kes tersebut yang akan bermula 11 November ini.
Prosiding keterangan saksi utama kes yang merupakan seorang warga Indonesia itu bagaimanapun dijalankan secara tertutup di hadapan Hakim Norashima Khalid.
Paul didakwa merogol pembantu rumahnya di sebuah bilik di tingkat atas kediamannya di Jalan Desa Meru 2, Taman Desa Meru, dekat sini, antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 23 Ogos lalu, Paul yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tersebut.
Mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu ditetapkan selama lima hari bermula pada 11 November ini.
Pengarah Pendakwaan Perak, Azhar Mokhtar, dilaporkan berkata, pihaknya akan memanggil 24 saksi, termasuk mangsa bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.
Pendakwaan oleh Azhar dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman.
Tertuduh diwakili barisan peguam Leong Cheok Keng, Datuk Rajpal Singh dan Farhan Sapian.