“BUKAN masalah kasut tapi pentas itu tidak stabil dan karpet yang digunakan berlubang,” kata peserta Top 20 Dewi Remaja 2019, Farzana Zainul, 22, yang tersungkur tiga kali ketika melakukan ‘catwalk’ di pentas ‘runway’ pada majlis sesi memperkenalkan peserta program realiti itu, semalam.
Farzana ketika dihubungi berkata, walaupun kecewa apabila tidak dapat memberikan gaya ‘catwalk’ terbaik, namun dia tetap bangkit dan melakukan yang terbaik bagi memperkenalkan dirinya sebagai peserta.
“Walaupun terpaksa menahan sakit, saya tetap cuba habiskan ‘catwalk’ dan anggap apa yang berlaku ini ada hikmah di sebaliknya.
“Saya tak rasa kasut menjadi punca hingga saya terjatuh sebanyak tiga kali. Ini kerana saya sudah menggunakan kasut itu lebih setahun dan tidak pernah berlaku masalah.
“Barangkali keadaan pentas yang tidak stabil serta terdapat karpet yang berlubang. Juri tetap Dewi Remaja Scha Alyahya juga hampir terjatuh,” katanya.
Menurut pelajar tahun dua jurusan Ekonomi dan Pentadbiran di Universiti Malaya itu, dia juga kecewa apabila tidak terpilih ke Top 12 dalam program realiti itu, namun menganggap itu bukan rezekinya.
“Memang saya agak kecewa apabila tidak terpilih kerana saya mengharapkan program ini dapat mengubah hidup saya.
“Program ini adalah salah satu platform terbaik untuk saya menonjolkan bakat. Bagaimanapun saya anggap tiada rezeki. Namun, jika ada tawaran berlakon atau pengacaraan pada masa mendatang, saya sentiasa terbuka dan mahu mencuba nasib,” katanya.
Terdahulu, Farzana menjadi perhatian netizen apabila rakaman video dia terjatuh sebanyak tiga kali pada majlis itu tular sejak semalam. – myMetro Online