KUALA LUMPUR – Segelintir golongan orang kenamaan (VIP) antara kumpulan yang dikesan bertanggungjawab terhadap kepupusan hidupan liar apabila menjadikan aktiviti pemburuan haram sebagai hobi.
Mendedahkan kegiatan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya menerima maklumat terdapat golongan VIP ini terbabit dalam kegiatan tidak bertanggungjawab berkenaan apabila bukan saja memburu hidupan liar malah spesis yang terancam.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius perkara ini, malahan beliau turut memberi amaran mengenakan tindakan keras jika golongan itu ditahan ketika menjalankan aktiviti berkenaan.
“Apabila identiti mereka sudah dikenal pasti, polis tidak akan teragak-agak untuk merampas senjata api milikan mereka, dan jika ditahan ketika menjalankan aktiviti itu mereka tidak akan terlepas daripada pendakwaan.
“Justeru, saya nasihatkan supaya golongan ini (VIP) menyahut seruan ini dan menghentikan aktiviti berkenaan bagi menyelamatkan hidupan flora dan fauna yang ada di negara,” katanya pada sidang media Ops Khazanah di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan, Datuk Zahari Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Fakhrul Hatta Musa.
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, dua batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Senoi Praaq, Bidor, Perak membabitkan 1,073 anggota dikerahkan bagi menjalankan Ops Bersepadu Khazanah di hutan negara.
Serius bagi menangani isu pembalakan dan pemburu haram, Abdul Hamid turut memberi kebenaran kepada anggotanya untuk melepaskan tembakan jika kumpulan itu bertindak agresif sama ada mencederakan atau menyebabkan kematian kepada pihak berkuasa.
“Kita juga sudah mencadangkan hukuman lebih berat dengan menambah hukuman sebat mandatori terhadap pemburu haram yang didapati bersalah,” katanya.
Beliau juga berharap hukuman sebat ini diluluskan dan dibentang di Parlimen kerana ia akan menakutkan dan menghindarkan pemburu haram meneruskan perbuatan kejam berkenaan.