GEORGETOWN – Polis mengesahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Pulau Pinang telah merampas 28 naskhah komik bertajuk Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama di dua lokasi berlainan semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, rampasan pertama dibuat sepasukan pegawai penguat kuasa KDN Pulau Pinang di Muzium Kebudayaan Komik Asia di tingkat dua ICT Mall, Kompleks Tunku Abdul Rahman (Komtar).
Menurutnya, dalam serbuan pertama pada jam 11.15 pagi itu, pegawai penguat kuasa telah merampas 13 naskhah komik versi bahasa Cina.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 13 naskhah komik yang menyalahi Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan (AMCP) 1984 dan telah dirampas.
“Ini kerana, komik itu diwartakan perintah larangan oleh KDN. Bagaimanapun, penyelia tersebut enggan menandatangani Borang 4a yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan media tadi.
Che Zaimani berkata, rampasan kedua pada jam 12 tengah hari dijalankan di Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut dan merampas sebanyak 15 naskhah komik dalam versi sama.
Berdasarkan keterangan awal katanya, PPD Timur Laut mendakwa telah menerima komik tersebut dari beberapa sekolah menengah sekitar daerah ini lalu menyimpannya untuk diserahkan kepada KDN Pulau Pinang.
“Barang rampasan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, KDN Pulau Pinang telah membuka tiga kertas siasatan susulan laporan polis yang dibuat iaitu di Jalan Patani, Balik Pulau dan Central manakala siasatan untuk rampasan di PPD Timur Laut hanya dibuat secara dalaman dan tiada seksyen kesalahan diklasifikasikan.
Terdahulu, KDN mewartakan perintah larangan tiga penerbitan bertajuk ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ serta versi bahasa Inggeris dan Cina melalui Warta Kerajaan P U (A)288/2019.
KDN dalam kenyataannya itu menegaskan, warta perintah larangan itu adalah mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Ia berikutan, komik yang dijual dengan harga RM25 itu boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda mengenai sejarah Malaysia seterusnya mempertikaikan usaha serta perjuangan tokoh atau pemimpin negara terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.
Selain itu, kandungannya dilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecahbelahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat di negara ini.
Muzium Kebudayaan Komik Asia dirasmikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 28 Mei 2016 ketika beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dan kurator muzium tersebut adalah bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai ‘Superman’.