KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengenai Program Subsidi Petrol (PSP) semalam, membuktikan bahawa program subsidi bersasar yang diamalkan oleh Kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN) adalah formula terbaik untuk negara.
Jelas beliau, jika dulu Pakatan Harapan (PH) mengecam tindakan BN mengamalkan sistem apungan harga minyak setiap minggu, kini cara ini jugalah yang mereka mahu laksanakan.
“Hilang sudah janji pilihan raya untuk menurunkan harga minyak kepada RM1.50 seliter tapi sekiranya kerajaan serius untuk melaksanakan semula sistem apungan minyak ini, kerajaan juga harus menjelaskan kepada rakyat adakah mereka akan melaksanakan sama seperti BN dahulu iaitu ada had tertentu.
“Kerajaan perlu beri penjelasan dan jaminan apakah tindakan yang akan diambil sekiranya pasaran harga minyak global terus naik. Sudah semestinya, rakyat tidak boleh dibebankan sekiranya harga minyak naik kerana ia akan memberi implikasi yang tidak baik terutamanya kepada harga barang runcit,” ujar beliau melalui satu kenyataan media.
Tambah Noraini, kerajaan pimpinan PH juga disarankan untuk mengkaji semula mekanisme pelaksanaan PSP yang akan dilaksanakan kerana subsidi yang dicadangkan dibimbangi tidak sampai kepada kumpulan sasar ekoran sistem digunakan tidak efektif.
“Ini kerana, kerajaan menggunakan data pangkalan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang mempunyai kenderaan. Persoalannya, bagaimana jika penerima berkenaan tidak mempunyai kenderaan? Adakah mereka akan menerima bantuan atau subsidi yang lain? Sudahlah subsidi yang diberikan juga terlalu rendah dan tidak munasabah.
“Kerajaan juga seharusnya memperkenalkan mekanisme bagi mengalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam. Ini sekali gus dapat membantu rakyat mengurangkan perbelanjaan harian mereka berbanding sekiranya mereka menaiki kenderaan sendiri.
“Sebenarnya, menggalakkan penggunaan pengangkutan awam telah pun dilaksanakan oleh Kerajaan BN. Sebab itulah, projek seperti MRT dan LRT dilaksanakan secara mega bagi memudahkan pergerakan rakyat sekali gus mengurangkan perbelanjaan pengangkutan mereka,” jelas beliau.
Selain itu, Noraini turut mendesak kerajaan pimpinan PH untuk menjelaskan apakah status pemberian kontrak bernilai RM25.03 juta kepada syarikat GHL Transact Sdn. Bhd. pada Mac lalu yang kononnya untuk membangunkan perisian subsidi petrol.
“Sehingga kini tidak ada makluman berkaitan hal ini. Jumlah wang yang dibelanjakan bukan sedikit jadi rakyat berhak untuk mengetahui sejauh mana perkembangan perkara ini,” tegas beliau. – UMNO ONLINE