KUALA LUMPUR – RAM Ratings mengunjurkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada 2020 tumbuh pada kadar 4.5 peratus, lebih rendah berbanding unjuran 4.6 peratus pada 2019.
Agensi penarafan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, dasar monetari dijangka akan lebih longgar lagi manakala dasar fiskal kekal pada pertumbuhan sederhana yang menyokong.
Sehubungan itu, RAM Ratings berkata, Malaysia perlu memanfaatkan kekuatan dalamannya daripada permintaan domestik yang kukuh dan menyesuaikan langkah-langkah dasar untuk membina penampan terhadap cabaran luaran, yang dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan tahun depan.
Agensi penarafan itu berkongsi pandangannya mengenai Makroekonomi dan Prospek Sektor Malaysia pada 2020 di Sidang Kemuncak Kredit Tahunan Ram Ratings yang diadakan di sini baru-baru ini.
Tema utama dibincangkan semasa sesi makroekonomi tersebut tertumpu kepada impak utama dan risiko bagi Malaysia akibat daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China ketika ini dan kelembapan global, serta bagaimana Belanjawan 2020 akan menyokong pertumbuhan pada masa depan.