KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof menolak usul persendirian dibawa Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang menggesa komik kontroversi bertajuk “Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama” diharamkan.
Ariff berkata keputusan menolak usul oleh bekas menteri Pendidikan itu dibuat kerana isu berkenaan masih dalam siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Saya tolak usul sebabnya siasatan sedang dijalankan. Jadi, ia tidak menjadikan itu sebagai satu perkara mendesak yang memerlukan perbahasan sekarang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Komik itu diterbitkan hasil kerjasama bekas ahli DAP yang juga kurator Muzium Kebudayaan dan Komik Asia, Hew Kuan Yau dengan artis tempatan, Chong Po Ling.
Hari ini, Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata beliau mengarahkan KPM menyiasat segera jika terdapat mana-mana individu termasuk anggota dalaman yang bertanggungjawab membenarkan pengedaran komik kontroversi di sekolah menengah seluruh negara baru-baru ini.
Maszlee berkata KPM akan memastikan siapa sahaja jika terbukti benar dakwaan itu akan diberi tindakan tegas.
Sebelum itu, Mahdzir selepas sesi pertanyaan lisan selesai, beliau dilihat bangkit dari kerusi dan mempersoalkan status usul persendirian yang dibawanya.
“Usul persendirian 18(1) berkaitan pengharaman penerbitan buku komik bertajuk “Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama”. Kita sudah melihat dan mengkaji, didapati ia memang tidak sesuai.
“Ia bertentangan dengan perkara di bawah Akta Pendidikan apabila buku ini dikeluarkan tidak mengikut saluran KPM dan bukan di bawah kelulusan KDN.
“Kita minta buku ini tidak diedarkan di sekolah dan diharamkan daripada KDN,” katanya.
Ariff bagaimanapun dilihat tetap tegas dengan pendiriannya untuk menolak usul tersebut.
“Saya sudah buat keputusan di bawah peraturan mesyuarat, ada perkara yang dipertimbangkan dalam lingkungan aturan mesyuarat 18(1). Perkara ini sedang disiasat dan tidak perlu disegerakan.
“Tugas saya sebagai speaker sudah dijalankan, saya sudah buat keputusan tidak perlu dibahaskan bawah aturan mesyuarat 18,” katanya.
Sementara itu, Mahdzir dalam sidang medianya di Dewan Rakyat berkata, beliau kesal dengan tindakan Ariff yang menurutnya sudah menghantar usul berkenaan sejak Isnin lalu.
“Buku ini sepatutnya tidak dibenarkan diedarkan, perlu diharamkan atas beberapa sebab. Buku ini membawa ideologi komunisme dari negara China.
“Kita tahu China adalah negara komunis dan buku ini mempromosikan ideologi komunisme. Apabila buku ini diedarkan di sekolah, jelas ia cubaan untuk menerapkan ideologi komunisme di sekolah,” katanya.
Mahdzir berkata, buku ini tidak layak untuk dibiarkan berleluasa di pasaran dan sekolah. Baginya, sekolah perlu bebas dari sebarang campur tangan dan unsur politik.
“Walaupun disiasat, buku ini terus beredar di pasaran. Sebab itulah kita minta ia dibahaskan di Dewan Rakyat namun saya kesal apabila Ariff menolaknya,” katanya. – FMT