KUALA LUMPUR – “Saya rasa dianiaya. Apapun, saya tak nak komen lanjut kerana sudahpun buat pembayaran seperti yang diperintahkan mahkamah.
“Apa yang pasti, saya lebih berhati-hati pada masa akan datang.
“Malah, saya akan buat pendaftaran mengikut prosedur seperti ditetapkan pihak berkenaan,” kata pelakon, Zarina Zainuddin, 48.
Terdahulu, pelakon drama 30 Pesanan Suara di TV3 itu dikenakan hukuman denda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam di atas enam pertuduhan memiliki dan menjual alat kosmetik tidak bernotifikasi.
Menurut Zarina, demi menyara keluarga dia sangat berusaha keras dalam mencari rezeki sama ada berlakon mahupun berniaga.
“Asalkan rezeki halal untuk anak dan keluarga, saya pasti usahakan sebaik mungkin termasuk berniaga pulut kuning,” katanya.
Ketika di mahkamah selepas disabitkan bersalah, Zarina dikatakan menepis telefon bimbit wartawan yang cuba merakam gambarnya.
Sehubungan itu, Zarina yang mengaku bersalah atas enam pertuduhan dibacakan terhadapnya diperintahkan membayar denda RM17,500 oleh mahkamah.
Bagi pertuduhan pertama tertuduh didenda RM3,000, pertuduhan kedua (RM2,500), pertuduhan ketiga (RM3,000), pertuduhan keempat (RM2,500), pertuduhan kelima (RM3,000) dan pertuduhan keenam (RM3,500).
Zarina didakwa mengikut Seksyen 18A(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang menjadi kesalahan mengikut Peraturan 18A (15). – myMetro Online