KUALA LUMPUR – Pelawak dan pelakon Zizan Razak dipuji netizen kerana membantu seorang pemandu yang tertidur ketika berada di persimpangan lampu isyarat.
Kejadian berlaku Ahad lalu ketika Zizan, 35, berada di Georgetown, Pulau Pinang atas urusan kerja.
“Cerita dia semalam (kelmarin) ketika Zizan dan pasukan ZRFF dalam perjalanan ke tempat kerja, ada seorang sahabat yang mungkin terlalu penat lalu tertidur dalam kereta.
“Apa yang menariknya apabila berlaku kejadian begini, semua bangsa bersatu menghulurkan bantuan. Tidak kira Cina, Melayu dan India.
“Tahniah dan terima kasih buat semua yang memberikan kerjasama luar biasa,” tulisnya.Ā
Dalam kiriman video menerusi Instagramnya, Zizan dan beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian memecahkan cermin belakang kereta berkenaan sebelum berjaya menyelamatkan pemandu itu.
Zizan turut memberi nasihat kepada orang ramai agar banyakkan berehat supaya kejadian seperti itu tidak berulang.
“Kepada sahabat kita, Zizan nasihatkan supaya banyakkan berehat dan jangan bekerja lebih masa,” katanya.
Tindakan Zizan yang membantu lelaki tersebut mendapat komen positif daripada peminatnya.
“Alhamdulillah. Terbaik Zizan. Buat baik, Insya-Allah Allah akan balas yang lebih baik untuk Zizan dan rakan-rakan,” tulis seorang pengguna Instagram. – K! ONLINE