KUALA LUMPUR – Sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Tanjung Piai pagi ini, Wee Jeck Seng dari MCA mendakwa terdapat nama pengundi dipakai orang lain semasa hari pengundian pada Sabtu.
Wee, yang menawan semula kerusi yang hilang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU4) tahun lepas, berkata beberapa pengundi yang pergi ke tempat mengundi mendapati nama dipakai orang lain.
“Selama ini kerajaan PH tekankan bahawa ia bersih, adil dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen.
“Perkara ini serius di mana PRU-14 tak berlaku tapi PRK Tanjung Piai telah berlaku.”
Beliau menggesa PH memenuhi janji-janji manifestonya, terutama berkaitan nelayan dan mereka yang menjalankan penternakan ikan.
“Kerajaan mesti ambil prihatin dan selesaikan masalah mereka,” katanya, dan menambah beliau akan timbulkan isu berkenaan di Parlimen.
Wee memenangi pilihan raya kecil itu dengan lebih 15,000 undi dalam pertandingan enam penjuru melawan calon PH Karmaine Sardini, Wendy Subramaniam (Gerakan), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan calon bebas Faridah Aryani Abd Ghaffar dan Ang Chuan Lock.
Tanjung Piai adalah kerusi campuran dengan 53,528 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 57% Melayu, 41.66% Cina dan 1% India. – FMT