RAKAMAN video Jacinda Ardern sebagai antara perdana menteri paling popular menyenaraikan pencapaian kerajaan pimpinannya selama dua tahun dalam tempoh dua minit tular hampir di seluruh dunia sejak dimuat naik Sabtu lalu.
Menurut laporan news.com.au, Sempena dua tahun terpilih sebagai Perdana Menteri New Zealand, Ardern menyahut cabaran pasukannya untuk menyenaraikan pencapaian itu.
Ardern berjaya melakukannya walaupun terlebih 30 saat dan rakaman itu sudah menarik lebih 40,000 reaksi sejak disiarkan di Facebook, Sabtu lalu,
Menyedari masa yang singkat, Ardern memulakan senarainya dengan kerajaan pimpinannya berjaya mewujudkan 92,000 pekerjaan, membina lebih 2,200 rumah awam, menanam 140 juta pokok dan meningkat rawatan kanser dengan menyediakan lebih banyak mesin radiasi.
Kerajaannya juga menaikkan gaji minimum, menambah kelas untuk 100,000 pelajar dan menurunkan kadar pengangguran ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun.
Semua itu disampaikannya dalam masa 30 saat.
Senarai tidak berakhir di situ dengan Ardern meneruskan selama satu minit setengah tanpa berhenti untuk menarik nafas berikutan senarai panjang pencapaian kerajaan pimpinannya.
“Sejak 48 jam lalu, video ini sampai ke seluruh pelosok dunia, dari UK (United Kingdom) hingga ke Pakistan, tular di Lubnan menjadi bahan penunjuk perasaan mendesak perubahan kerajaan,” kata seorang pengguna Twitter.
Seorang lagi pengguna menulis “kita perlukan lebih ramai pemimpin seperti Jacinda” malah mendapat pujian pengguna di Amerika Syarikat dan Britain. – Agensi