KUALA LUMPUR – Blok pembangkang menegaskan tidak bersetuju dan akan menolak Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019, jika kerajaan membentangkannya di Dewan Rakyat, minggu depan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan Barisan Nasional (BN), PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menolak perkara itu, kerana mendakwa kerajaan tidak mempedulikan pandangan Jawatankuasa Khas RUU IPCMC yang tidak bersetuju dengan banyak klausa dalam RUU berkenaan.
“Selepas membaca Laporan Jawatankuasa Khas RUU IPCMC, serta mendapat maklumat daripada ahli jawatankuasa, kami mendapati proses mendapatkan pandangan awam bagi menambah baik RUU ini hanya kosmetik dan lakonan.
“Ketika proses itu, ramai pemegang taruh seperti polis dan masyarakat awam tidak bersetuju dengan beberapa klausa RUU ini.
“Pakar Perlembagaan Persekutuan yang dipanggil jawatankuasa khas juga tidak bersetuju kerana bertentangan Perkara 140 (Suruhanjaya Pasukan Polis) dan Perkara 135 (sekatan pembuangan kerja dan penurunan pangkat) Perlembagaan Persekutuan.
“Memandangkan kebanyakan pemegang taruh tak bersetuju tapi kerajaan tetap mahu bentang RUU ini, ia menunjukkan kerajaan tidak peduli pada pandangan mereka,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Sidang media itu dihadiri hampir 20 Ahli Parlimen BN, PAS dan GPS.
Semalam, kerajaan mengemukakan Laporan Jawatankuasa Khas RUU IPCMC 2019 kepada semua Ahli Parlimen, selepas jawatankuasa khas itu mengadakan sesi pertemuan dengan pelbagai pihak selama kira-kira enam minggu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, dilaporkan berkata, pihaknya akan memilih syor tertentu daripada laporan berkenaan, sebelum membentangkan RUU IPCMC 2019 di Dewan Rakyat, minggu depan.
Pada 7 Oktober lalu, Dewan Rakyat menetapkan supaya RUU IPCMC 2019 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memperincikan lagi kandungannya, termasuk beberapa pindaan yang dicadangkan bagi tujuan penambahbaikan. – BH Online