SHAH ALAM – Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad diseru menyerahkan jawatan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 9 Mei 2020 seperti dijanjikan dalam kalangan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH).
Pengasas bersama PKR dan bekas timbalan presiden parti itu, Syed Husin Ali berkata, sehingga kini tiada tarikh tertentu ditetapkan berkait peralihan kuasa itu seperti dipersetujui dalam PH, namun Mahathir dilihat terus berdolak-dalik berhubung isu tersebut.
“Sekarang ini soalnya adakah Mahathir akan berpegang pada janji? Kita lihat dia berdolak-dalik. Sekejap dia kata dua tahun, sekejap dia kata mungkin tiga tahun, sekejap dia kata sampai hujung tahun 2020.
“Setidaknya sebelum 9 Mei tahun depan beliau haruslah berundur dengan cara baik, berhemah dan mulia,” katanya ketika mengulas tajuk perbincangan “Peralihan Kuasa Menyempurnakan Misi Reformasi: Misi atau Realiti?” pada Konvensyen Reformis 2019 di sini, hari ini.
Anwar sebelum ini mendakwa wujud perjanjian bertulis yang mempersetujui bahawa beliau akan mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Mahathir.
Mahathir juga berulang kali berkata, beliau akan mengotakan janji dengan meletakkan jawatan selepas tempoh pentadbiran dua tahun.
Isu peralihan kuasa perdana menteri daripada Mahathir kepada Anwar terus menjadi pertikaian dalam PH dan terus panas tanpa kata putus berhubung tarikh sebenar ia akan berlaku.
Kekalahan besar calon PPBM-PH, Karmaine Sardini dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai awal bulan ini di tangan calon MCA-BN, Wee Jeck Seng dengan majoriti lebih 15,000 undi terus menghangatkan keadaan.
Syed Husin dan beberapa pimpinan PH berkata, kekalahan itu merupakan satu referendum terhadap pentadbiran Mahathir, sekali gus mendesak beliau berundur.
Dalam pada itu Syed Husin berkata, wujud pihak dari dalam PKR yang cuba mensabotaj peralihan kuasa itu hingga sanggup bersekongkol dengan parti luar bagi membina sokongan kepada Mahathir.
“Tapi ada golongan yang nak memastikan janji Anwar jadi PM ke-8 disabotaj. Ada pula parti luar yang membina sokongan kepada perdana menteri sekarang kerana takut Anwar mungkin akan melakukan reformasi dan membuat perubahan yang lebih besar,” katanya, merujuk kepada pertemuan antara timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dengan beberapa orang ahli Parlimen UMNO di rumah beliau awal minggu ini.
Azmin dan pemimpin UMNO terbabit, termasuk bekas naib presiden parti itu dan juga ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan berkata, pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan projek pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing.
Syed Husin bagaimanapun percaya dengan sokongan rakyat, gerakan reformasi akan dapat “menentukan” tarikh peralihan kuasa seperti dijanjikan oleh PH sebelum ini.
Konvensyen sehari aktivis veteran gerakan Reformasi 1998 itu dengan ucaptama disampaikan oleh Anwar dan penasihat PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail antara lain meluluskan resolusi menuntut tarikh peralihan kuasa dan penyerahan jawatan perdana menteri kepada Anwar ditetapkan selewat-lewatnya pada 10 Mei tahun depan. – FMT