PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan akan memutuskan pada 11 November ini sama ada memberi kebenaran kepada seorang peguam yang memohon perisytiharan terhadap pindaan Akta Pendidikan 1996 untuk membenarkan sekolah vernakular terus wujud, sebagai tidak berperlembagaan.
Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan pihak terbabit dalam usul itu.
Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memfailkan satu usul pada 23 Oktober lalu untuk memohon perisytiharan di bawah Perkara 4 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Tetapi, beliau perlu mendapatkan kebenaran daripada seorang hakim di bawah Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan kerana beliau mencabar kompetensi Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk meluluskan undang-undang.
Di bawah Seksyen 17 Akta Pendidikan yang diluluskan pada 1996 untuk menggantikan Ordinan Pendidikan 1956 dan Akta Pendidikan 1961, bahasa kebangsaan dinyatakan sebagai bahasa pengantar utama, kecuali di sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 atau institusi pendidikan lain yang dikecualikan menteri.
Seksyen itu turut menyatakan sekolah yang menggunakan bahasa selain bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar mereka perlu mengajar bahasa itu sebagai subjek wajib.
Sementara itu, Seksyen 28 Akta Pendidikan meliputi penubuhan sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan.
Ia menyatakan menteri pendidikan boleh menubuhkan sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan serta mengekalkan sekolah berkenaan.
Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke Yee Ching yang mewakili Kementerian Pendidikan dan kerajaan, berkata permohonan kebenaran Khairul salah tafsir.
Katanya, badan perundangan persekutuan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) kompeten untuk meluluskan undang-undang kerana pendidikan terletak di bawah Jadual Kesembilan Senarai Pertama dalam Perlembagaan.
Loke berkata, litigan hanya boleh datang daripada Mahkamah Persekutuan jika Parlimen meluluskan undang-undang yang tidak kompeten untuk digubal.
“Permohonan kebenaran itu disalah tafsir kerana Parlimen sudah melakukan tugasnya berdasarkan Perlembagaan.”
Loke berkata, Khairul sepatutnya memulakan tindakannya di Mahkamah Tinggi jika dia fikir pindaan terhadap Seksyen 17 dan 28 melanggar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
“Tindakan itu mesti dimulakan di Mahkamah Tinggi apabila seseorang mencabar kesahihan undang-undang yang diluluskan badan perundangan.”
Peguam, Shaharudin Ali yang mewakili Khairul berkata, menteri tidak boleh diberikan kuasa untuk menubuhkan sekolah Cina dan Tamil kerana ia perlu mendapatkan persetujuan Majlis Raja-raja yang merupakan pelindung bahasa kebangsaan.
“Kerajaan hanya boleh menubuhkan sekolah rendah dengan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam kurikulum sekolah.”
Katanya, bahasa Tamil, Mandarin dan bahasa lain hanya boleh diajar di luar sistem sekolah.
“Kebenaran perlu diberikan kerana permohonan itu bukannya remeh dan menyusahkan.”
Peguam, Gurdial Singh Nijar mewakili Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia(Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), manakala Bastian Pius Vendargon mewakili Majlis Bahasa Cina Malaysia dan Persatuan Bahasa Tamil sebagai pencelah dicadangkan.
Di luar mahkamah, Khairul memberitahu wartawan, beliau mempunyai pilihan lain jika mahkamah tidak memberi kebenaran kepadanya.
“Saya juga ada pelan B untuk meneruskan tindakan undang-undang saya.” – FMT