KUALA LUMPUR – Kapal selam milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak masih mampu melaksanakan peranannya dengan baik sebagai benteng pertahanan perairan negara.
Buktinya, ketumbukan TLDM itu masih beroperasi sepenuhnya dan difokuskan kepada eksesais secara dua hala atau gabungan aset ketenteraan luar.
Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut, dalam satu kenyataan berkata, pencapaian yang ditunjukkan oleh TLDM di peringkat negara mahupun antarabangsa perlu dibanggakan kerana berjaya meletakkan armada laut negara sebagai pasukan marin berprestij setanding dengan negara Barat melalui perolehan kedua-dua kapal selam berkenaan.
“Hingga hari ini, kru kapal selam sudah mencatatkan rekod lebih 11,600 jam menyelam bersama kapal selam.
“Jadi, bagaimana ada pihak mengatakan kapal selam negara tidak mampu menyelam. Seharusnya, rakyat Malaysia memberi sokongan kepada anggota TLDM yang sentiasa berkorban apa sahaja demi mengawasi perairan negara,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Scorpene adalah kapal selam unik kerana memiliki teknologi yang menyamai kapal selam nuklear jenis Le Triomphant milik Tentera Laut Perancis.
“Konsep, ciri dan reka bentuk kapal selam ini menjadikan ia digeruni pihak lawan dan mewujudkan faktor cegah rintang, sejajar dengan dasar pertahanan negara dan strategik pertahanan maritim yang digariskan.
“Ia mampu menyekat jalur perhubungan laut bagi menghalang pergerakan logistik musuh atau menangani ancaman kapal musuh yang mencabar kedaulatan dengan senjata moden termasuk misil dan torpedo yang dilancarkan dari bawah permukaan laut,” katanya.
Terbaharu Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dengan diiringi Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany menaiki kapal selam KD Tunku Abdul Rahman (TAR) di Perairan Laut China Selatan, semalam.
“TLDM sebagai sebahagian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan pertahanan laut dan pelengkap dalam menjaga kedaulatan negara,” katanya. – BH Online