KUALA LUMPUR – Kuku dan taring harimau serta air mani gajah antara yang dirampas dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) selama dua hari bermula Sabtu lepas dalam usaha membanteras aktiviti pemburuan haram dan melindungi khazanah hutan.
Operasi polis itu membabitkan kawasan Hutan Simpan Labis, Johor; Kawasan Rizab Taman Negara Endau-Rompin, Johor; Gua Musang, Kelantan dan Hutan Simpan Ulu Muda, Kedah dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Gerakan), Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, susulan itu, lapan lelaki iaitu lima warga tempatan, dua warga Indonesia dan seorang warga Kemboja ditahan dalam operasi itu.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan menemui beberapa botol air mani gajah, kuku, kantung dan taring harimau, kulit kijang, spesies orkid hutan dan pokok kacip Fatimah bersama-sama suspek.
Air mani gajah dipercayai digunakan sebagai afrodisiak sementara kuku dan taring harimau sebagai tangkal kebal, katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
“Polis turut merampas satu mesin gergaji kayu, empat bilah golok yang dipercayai untuk menebang pokok keranji serta sebilah kapak dan 20 unit jerat nylon yang digunakan untuk menangkap haiwan liar,” katanya.
Keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM500,000 dan dipercayai untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, katanya.
Kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 40 tahun kini direman tujuh hari untuk siasatan.
Zainal Abidin berkata, sejak OBK dilancarkan pada 3 Sept lepas, sebanyak 47 pemburu haram berusia 30 hingga 40 tahun ditahan terdiri daripada enam warga tempatan, Thailand (dua), Bangladesh (enam), Indonesia (empat), China (15), Myanmar (enam) dan Kemboja (lapan).