ISU kereta terbang terus jadi bahan sindiran oleh Ahli Parlimen pembangkang di sidang Dewan Rakyat, pagi ini.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof yang hadir ke sidang Dewan Rakyat bagi sesi jawab lisan diasak supaya menjelaskan jenis kenderaan yang bakal dipandu ujinya, esok.
Mengulas situasi sebenar, Mohd Redzuan berkata, beliau mengambil tanggungjawab untuk memberi sedikit ilmu mengenai ‘kereta terbang’ yang bakal diujinya itu.
“Call whatever you like (panggil apa saja kamu suka) …dron ke, kereta terbang ke…its all about air mobiliti (mobiliti udara).
“Yang pentingnya, kalau kita baca Dasar Keusahawanan Nasional, antara teras strategik kita adalah untuk membangunkan industri penerbangan, aeroangkasa dan mobiliti udara.
“Masyarakat seluruh dunia tidak gelarkan dron… dron ni adalah flying dummy (replika terbang).
“Kita kerajaan sudah mulakan satu program untuk melatih anak muda untuk mendekatkan diri dengan latihan penggunaan dron,” katanya.
Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) bangun mencelah: “Lagi banyak Yang Berhormat (Mohd Redzuan) cakap…lagi satu Malaysia gelak.
Turut mencelah adalah Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang memaklumkan dron yang bakal diuji itu di bawa dari China.
“Dron tu dari China…from China. Saya dah naik dron ni 10 tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof kemudian menenangkan dewan dan meminta semua Ahli Parlimen hadir ke sesi uji pandu dron esok bagi mendapatkan penjelasan sebenar.
“Ini sesi soal jawab, takpalah… menteri dah jemput semua pergi untuk melihat. Dron ke apa ke…esok pergilah,” katanya.
Isnin lalu, Mohd Redzuan pada sidang Dewan Rakyat mengesahkan beliau akan menghadiri sesi uji pandu ‘kereta terbang’ yang dijadualkan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Khamis ini.
Malah, beliau turut memanjangkan jemputan kepada Ahli Parlimen untuk menyaksikan sesi uji pandu berkenaan.
Bagaimanapun, semalam, Mohd Redzuan memaklumkan masa dan lokasi sesi uji pandu itu tidak didedahkan bagi menghormati permintaan pemaju projek berkenaan.
Sementara itu, Berita Harian melaporkan, kenderaan yang bakal diuji oleh Mohd Redzuan adalah dikenali sebagai Super Dron iaitu ciptaan bersama syarikat tempatan dan China. – myMetro Online