KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi mengakui beliau meminta jurugambar tidak mengambil gambarnya di lobi Parlimen hari ini.
Tetapi, beliau menafikan pernah menggelar mereka “bodoh” dan “sampah” seperti didakwa sekumpulan jurugambar yang cuba mengambil gambarnya.
“…saya nak pergi tandas pun ambil gambar. (Saya kata) Hentikan. Saya rasa lebih baik kamu ‘berambus’.
“Tetapi, tidak ada (sebut) bodoh, tidak ada (sebut) sampah. Itu tak patut disebut ahli Parlimen. Itu sangat teruk cakap begitu,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.
Terdahulu, sekumpulan jurugambar mendakwa Mohamaddin menyebut “bodoh”, “sampah” dan “berambus” ketika mereka mahu mengambil gambarnya di lobi Parlimen.
Keadaan sedikit kecoh apabila sekumpulan jurugambar dan wartawan tidak bersetuju dengan tindakan Mohamaddin. – FMT