PETALING JAYA – Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan-kesalahan Pilihanraya tidak jelas merujuk kepada kempen bergerak mahupun kempen dari pintu ke pintu, kata Peguam Negara, Tommy Thomas dalam kenyataan hari ini.
“Hakikatnya sejarah membuktikan semenjak 1955, kaedah-kaedah untuk meraih pengundi ini yang paling popular digunakan oleh calon-calon dari semua parti politik, dan tanpa perlu untuk mendapatkan permit sedemikian,” tambahnya.
Thomas mengingatkan sebanyak 14 pilihan raya umum dan ratusan pilihan raya kecil telah diadakan sejak itu, dan aktiviti berkempen bagi tujuan pilihan raya penting dalam sistem demokrasi berparlimen.
Penjelasan ini menyusuli kontroversi kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya kelmarin, memaklumkan polis meminta semua pihak bertanding pada pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai supaya mendapatkan permit bagi kempen rumah ke rumah kerana ia juga suatu bentuk berkempen.
Ketua Polis Johor, Mohd Kamarudin Md Din pada sidang media semalam berkata keperluan permit itu mengikut peruntukan Seksyen 24(B) Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Menurut seksyen itu, acara yang memerlukan permit adalah perjumpaan awam terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka atau hiburan awam terbuka di mana ucapan atau syarahan hendak diberikan. – FMT