PETALING JAYA – Kerajaan pusat menyangkal dakwaan berhubung pemindahan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Kewangan (MoF) kepada Jabatan Perdana Menteri bertujuan memperkukuh kuasa Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad ke atas sektor korporat.
Sebaliknya, Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah berkata, pemindahan itu merupakan sebahagian daripada penyusunan semula kerajaan untuk meningkatkan kecekapan sektor awam.
“Tidak timbul soal mempunyai lebih kuasa atau sedikit kuasa. Langkah itu sebenarnya lebih kepada usaha untuk menjadikannya lebih cekap dan supaya rakyat akan memperolehi perkhidmatan terbaik yang boleh kerajaan berikan,” kata beliau mengulas pandangan seorang ahli ekonomi kelmarin.
Dipetik Bernama, beliau Amiruddin memberitahu mengikut penyusunan semula itu, beberapa kementerian digabungkan malah ada kementerian yang dibubarkan sebelum ini diwujudkan semula.
Amiruddin juga menolak dakwaan yang mengatakan pemindahan GLC itu telah mengurangkan kuasa MoF.
Menjelaskan perkara itu, beliau sebaliknya menekankan bahawa Kabinet berkhidmat sebagai satu pasukan di bawah perdana menteri.
Katanya, apabila Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan, perdana menteri telah membariskan semua menteri Kabinet dan setiap orang mempunyai tanggungjawab dan peranan yang mereka perlu laksanakan.
“Tidak timbul isu sama ada lebih kuasa atau kurang kuasa. Kita bercakap mengenai bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan, memandangkan Kabinet bekerja di bawah perdana menteri untuk memberi yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Edmund Terence Gomez berkata Mahathir mempunyai cengkaman kuat ke atas sektor korporat susulan apa yang dikatakan penyusunan semula yang “terselindung” selepas perubahan kerajaan tahun lepas.
Sehubungan itu beliau menyeru ketelusan dan kebertanggungjawaban lebih tinggi terhadap GLC, seperti yang dijanjikan manifesto PH.
Dalam pembentangan laporan mengenai GLC yang disediakan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), di mana Gomez seorang felo kanan, beliau berkata bilangan GLC bawah Kementerian Kewangan berkurangan kerana banyak dipindahkan ke bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Walaupun Lim Guan Eng dilantik menteri kewangan, kawalan sebenar perusahaan-perusahaan penting kerajaan bawah bidang kuasanya, termasuk dana kekayaan negara Khazanah Nasional dan dana pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri,” kata laporan itu. – FMT