KUALA KANGSAR – Tenang serta tidak mudah melatah berdepan dengan pelbagai kritikan, asakan dan tidak terkecuali cubaan untuk menjatuhkanya daripada jawatan Menteri Besar Perak, begitulah sikap Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Ketika belum sampai setahun mengemudi pentadbiran kerajaan negeri Perak, tahun lalu kedengaran spekulasi terdapat komplot ingin menggulingkan Ahmad Faizal atau mesra disapa Peja, lebih mengejutkan ia didakwa didalangi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sendiri.
Hari ini, sikap positif Ahmad Faizal itu mendapat pujian daripada Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa kerana berjaya menghadapi segala tuduhan cubaan menjatuhkannya sebagai Menteri Besar dengan tenang.
“Pada tahun ini, ada berlakunya beberapa perkara yang boleh menarik perhatian seperti cubaan untuk mengoyang kerajaan negeri yang dilakukan oleh dua tiga wakil rakyat untuk menjatuhkan menteri besar secara undi tak percaya dan sebagainya.
“Tetapi Alhamdulillah ia tidak sampai ke tahap yang serius, hanya tuduh menuduh saja, maklumlah sesuatu kerajaan yang bergantung majoriti yang tipis, mestilah ada pihak yang cuba untuk mengubah ‘status quo’ bagi mendapatkan kuasa,” titah baginda pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia, Menjunjung Duli dan Penganugerahan Darjah Kebesaran negeri Perak sempena Hari Keputeraan ke-63 Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.
Titah Raja Muda Perak kebelakangan ini, isu-isu perpaduan semakin rancak diperkatakan ditambah dengan fitnah menerusi media sosial selain terdapat pihak yang membuat kenyataan sensitif mengenai kehidupan pelbagai kaum di negara ini serta penganjuran program untuk satu kaum sahaja.
“Sama ada ini betul atau hanya retorik tidak dapat ditentukan dengan tepatnya. Rasanya Kebanyakannya adalah retorik untuk meraih sokongan politik dan sesuatu agenda. Oleh itu, rakyat dirayu supaya bertenang dan mengekalkan keharmonian,” titah baginda.
Baginda turut menyentuh mengenai ura-ura akan berlakunya Pilihan Raya Negeri di Perak baru-baru ini dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang membuang masa.
“Jika pilihan raya diadakan semula di Perak, akan hampir sama kerana ratio penduduk bumiputera dan bukan bumiputera hampir sama. Jadi mengapa kita bendak buang masa.
“Lebih baik memberi fokus kepada isu-isu pembangunan dan terus memajukan negeri ini supaya dapat mengejar negeri-negeri lain yang sudah maju atau bersiap untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” titah Raja Muda Perak.
Raja Muda Musa juga bertitah, isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah melekatkan negara di kedudukan serba salah, sama ada mengiktiraf atau mengetepikannya.
Baginda bertitah jika kontrak sosial atau Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan boleh diterima serta dianggap sebagai hak istimewa sesuatu kaum dan bukannya diskriminasi, mungkin ICERD boleh diterima, tetapi dengan adanya pelbagai persepsi serta kebimbangan tidaklah ia dipersetujui oleh ramai kaum bumiputera.