SEPANG – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak tahu-menahu jika timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen parti itu hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau juga tidak dijemput untuk hadir dalam pertemuan itu.
“Saya tak tahu mengenainya, saya tak dijemput,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Difahamkan satu pertemuan diadakan membabitkan Mohamed Azmin dengan beberapa Ahli Parlimen PKR di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, petang ini.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dilaporkan memasuki Dewan Rakyat kira-kira jam 2.40 petang tadi.
Terdahulu, Anwar menyampaikan Bicara Khas bertajuk Ilmuwan Islam dan Visi Nahdah Asia Tenggara sempena Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di sini. – BH Online