KUALA LUMPUR – Anggota bomba membantu pelancong melalui laluan pejalan kaki yang baru dibina bagi membawa mereka pulang ke hotel dan pangsapuri yang terletak di Jalan Ion Delemen, Genting Highlands berikutan tanah runtuh di laluan berkenaan petang, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands, Penolong Kanan Penguasa Bomba Yusri Abdullah Sani, berkata 220 pelancong termasuk pekerja di hotel dan pangsapuri itu sudah dibawa melalui laluan pejalan kaki berkenaan.
Laluan pejalan kaki sepanjang 600 meter itu dibina kontraktor bagi memudahkan pelancong dan pekerja dari pusat peranginan Genting Highlands pulang ke penginapan penginapan mereka di Jalan Ion Delemen.
“Dengan itu, laluan pejalan kaki ini dibina dan disebabkan laluannya yang gelap kami (bomba) membantu iringi mereka dan dibantu polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang keseluruhannya seramai 40 anggota,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Yusri berkata, selepas melalui laluan pejalan kaki itu mereka akan menaiki van dan bas yang disediakan hotel dan pangsapuri untuk ke penginapan berkenaan.
“Bagi laluan jalan itu, kita menjangkakan ia dapat dibuka semula jam 8 pagi esok.
“Namun ia hanya membabitkan satu laluan saja dan hanya kenderaan ringan dibenarkan melalui jalan terbabit.
“Buat masa ini kerja baik pulih sedang giat dijalankan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Kejadian tanah runtuh itu berlaku sekitar 5.40 petang semalam, berikutan hujan lebat yang berterusan sejak 4 petang. Runtuhan itu bagaimanapun tidak membabitkan laluan utama ke Genting Highlands kerana ia berlaku di laluan untuk ke kawasan lain di pusat peranginan tanah tinggi itu. – BH Online