KUALA LUMPUR – Tempoh maksimum penahanan reman yang diperuntukkan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), mungkin dipendekkan kepada 14 hari.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memaklumkan Kabinet berpandangan tempoh tahanan selama 28 hari dalam akta itu adalah terlalu lama untuk seseorang ditahan reman tanpa melalui perbicaraan di mahkamah.
Justeru, katanya, itu antara pindaan yang sedang diteliti, selepas jemaah menteri memutuskan beberapa perkara dalam akta itu masih perlu diperhalusi ketika beliau membentangkan pindaan SOSMA kepada Kabinet lebih tiga bulan lalu.
“Satu perkara adalah berkenaan tempoh reman. Akta memperuntukkan 28 hari (maksimum), namun ramai kata itu terlalu lama dan perlu disingkatkan.
“Namun, pihak penguat kuasa seperti polis berpandangan kalau tangkapan berkaitan keganasan, mereka memerlukan masa lebih lama untuk mengkaji supaya keputusan dibuat itu tepat.
“Jadi, ada yang mencadangkan kita bagi 14 hari, untuk menyambung 14 hari lagi mesti diputuskan mahkamah. Itu satu contoh untuk wujudkan semak dan imbang, tidak terus beri kuasa penuh kepada polis,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas hasil mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya semalam, yang memutuskan untuk meminda undang-undang drakonian, termasuk SOSMA secepat mungkin.
Muhyiddin turut mengesahkan rang undang-undang untuk meminda SOSMA akan dibawa ke Parlimen pada Mac tahun depan, berikutan belum sempat menyiapkan usul pindaan itu pada sesi Dewan Rakyat kali ini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, perkara lain yang perlu diperhalusi adalah mengenai fasal yang boleh dimanipulasi untuk kepentingan politik.
“Fasal lain adalah yang berkaitan (tangkapan) melakukan sesuatu yang dianggap mensabotaj ekonomi dan lain-lain, seperti kes Maria Chin Abdullah dan Matthias Chang yang didapati dibuat atas keputusan politik.
“Kita nak elakkan perkara itu timbul. Jadi, ada cadangan supaya bahagian itu juga kita pinda atau ditiadakan,” katanya.
Kementerian Dalam Negeri, kata Muhyiddin, masih membuka ruang kepada mana-mana pihak yang mahu memberikan pandangan berhubung pindaan SOSMA, sebelum membentangkan usul pindaan kepada Kabinet dan Parlimen. – BH Online